Pantau Kesihatan Ahmad Mahmud

Harian Metro – 30/07/2008 (Rabu)

AKIBAT diserang demam panas selama dua minggu, Datuk Ahmad Mahmud, 85, kini menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Pantai, Jalan Bukit Bangsar sejak Selasa lalu. Malah, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman dalam darah seniman veteran itu.

Justeru, keadaan hero filem Melayu ini harus dipantau rapi memandangkan beliau juga menghidap penyakit buah pinggang kira-kira tujuh tahun lalu. Apapun, mengikut imbasan sinar X ke atasnya mendapati keadaan jantung beliau tiada jangkitan.

Anak sulungnya daripada perkahwinan kedua bersama Datin Hadijah Mohamad, 83, Rogayah, berkata jika tiada aral, bapanya boleh pulang ke rumah hari ini (semalam). Katanya, itu pun bergantung kepada keadaan demamnya yang beransur pulih.

“Kata doktor, demam dihidapi ayah yang tidak sembuh berminggu lamanya itu disebabkan jangkitan kuman dalam darahnya. Malah, kerana beliau juga ada penyakit buah pinggang. Jadi rawatan lanjut di hospital amat penting untuk memantau kesihatannya.

“Sepanjang di hospital ini, ayah diberi antibiotik untuk meredakan suhu demamnya. Alhamdulillah, selepas dirawat nampaknya keadaan beliau ada perubahan,” katanya memaklumkan ramai juga rakan artis seangkatan Ahmad datang melawat.

Rogayah, 56, berkata selain dia dan dua adiknya iaitu Siti Fatimah, 54, dan Mohd Arifin, 53, yang bergilir-gilir menjaga Ahmad di hospital, ibu mereka, Hadijah juga tidak ketinggalan.

Bahkan, katanya, Hatijah tidak mahu pulang ke rumah dalam tempoh itu.

Kata Hatijah, hatinya sentiasa bimbang jika berjauhan dengan suami tersayang. Justeru, beliau lebih selesa jika berada di hospital menemani Ahmad.

Akuinya, biar pun anak-anak memintanya balik ke rumah untuk berehat, dia menolak.

“Dengan keadaan suami seperti ini, saya risau. Saya mahu sentiasa bersama dengannya kerana kami sudah lama hidup bersama. Sekurang-kurangnya, saya tahu tahap kesihatannya dan hati tenang walaupun tidak dinafikan memang penat.

“Apapun, saya tidak sangka keadaan kesihatannya seperti ini. Memanglah dia kurang sihat tetapi apabila di rumah saya sentiasa minta dia buat latihan. Kalau mahu ke bilik air atau makan, saya sering galakkan dia lakukannya sendiri,” kata Hatijah.Beliau berkata memang suaminya berusaha. Namun, tiba-tiba saja Ahmad diserang demam. Katanya selalu dua atau tiga hari sudah sembuh, tetapi demam yang ini tidak beransur pulih hingga suaminya perlu dimasukkan ke hospital.

Ahmad yang pernah membintangi filem seperti Hang Tuah dan Ibu Mertuaku turut mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya. Ketiga-tiga anaknya itu Ahmad Tajuddin, Siti Zainon dan Ahmad Fadilah datang melawatnya minggu lalu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

0 comments

Leave a Reply