Abby tidak rela bermadu

Abby tidak rela bermadu

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Suasana dramatik pelakon ini nekad menuntut cerai daripada Norman di saksikan wartawan dan krew penggambaran drama Gerak Khas

“CERAIKAN saya di sini juga, di depan wartawan sekarang ini juga,” jerit Abby dalam nada tegas penuh emosi kepada Norman Hakim sewaktu mencelah temu bual yang dilakukan sekumpulan pihak media di lokasi penggambaran drama Gerak Khas berdekatan Carrefour, Wangsa Maju pada 3 November lalu.

Bagaimanapun, Norman cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan dan berlalu seketika daripada penglihatan rakan media, tanpa berkata apa-apa. Cukup dramatik sekali melihat adegan yang membabitkan mereka ini, apatah lagi Abby secara tegas mempersoalkan apakah hubungan yang terjalin antara Norman dengan Memey? Tidak berjawab, soalan itu terus tergantung dan meninggalkan tanda tanya.

Ironinya, lokasi penggambaran drama ini juga menjadi saksi di mana Abby menuntut cerai kepada Norman Hakim pada dua tahun lalu. Bezanya waktu itu ia berlaku di Jalan Chow Kit menjadi lokasinya dan terbaru pada 3 November lalu di Wangsa Maju.

Penggambaran drama ini juga terganggu seketika gara-gara ‘ketegangan’ yang tidak disangka-sangka ini.

Bagaikan melihat adegan drama sebenarnya melihat watak realiti yang dipegang Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan, 30, begitu nekad untuk menuntut perceraian buat kali keduanya terhadap si suami bernama Nurhakim Zaidon (Norman Hakim), 32. Pasangan ini pernah dilanda badai gara-gara wujud orang ketiga hingga terjadi kes perceraian singkat pada 5 Mei 2006 selepas tiga tahun berkahwin. Bagaimanapun mereka kembali rujuk pada 12 Mei 2006.

ABBY dan Norman dikerumuni wartawan yang ingin mengetahui kisah mereka.

Tetapi kali ini, Abby sudah nekad ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur untuk memfailkan tuntutan perceraiannya. Bagaimanapun, ia gagal kerana Abby perlu mendapatkan beberapa salinan dokumen dan maklumat berkaitan suaminya.

Menurut Abby, hasratnya untuk menuntut cerai sudah dimaklumkan kepada Norman. Atas alasan untuk mempercepatkan urusan perceraiannya, Abby tanpa teragak-agak bergegas menemui Norman di lokasi penggambaran Gerak Khas.

“Memang sudah lama berniat untuk menuntut cerai kerana sudah terlalu lama saya menunggu dan terus menunggu. Saya sudah tidak nampak ruang terus memperbetulkan keadaan yang sedia keruh. Keadaan yang membuatkan saya buat begini.

“Usaha saya kali ini gagal kerana dokumen membabitkan dia (Norman) belum lengkap. Saya hanya perlu kerjasama dia untuk memudahkan hal ini. Ingatkan mudah nak uruskan hal ini, nampaknya banyak yang perlu dilakukan dulu,” kata Abby yang hadir seorang diri tanpa ditemani siapa-siapa.

YUSOF HASLAM menasihati Abby.

Kata Abby lagi, anak-anak masih terlalu muda untuk diperjelaskan situasi ini.

Mengenai kehadirannya menemani Norman sebagai tanda sokongan sewaktu kes penangkapan khalwat Norman dan Memey pada 30 Oktober lalu, Abby berkata, dia berasa ralat apabila Norman meminta bantuannya untuk menyelamatkannya dan Memey pada masa yang sama, hingga menimbulkan rasa sangsi Abby terhadap suaminya.

Dia mengakui menghubungi Memey dan ia bersambut. Dalam nada tegas, Abby bersedia bersemuka dengan gadis yang dikaitkan Norman itu.

Katanya lagi, jika benar gosip bertiup kencang mengatakan suaminya dan Memey sudah berkahwin, dia tidak rela untuk dimadukan.

“Saya masih boleh terima kalau dia (Norman) meminta untuk saya menyelamatkan dirinya. Yang pelik, dia meminta saya menyelamatkan Memey juga dan saya rasa macam ada sesuatu antara mereka.

“Saya pun tak sangka dia (Memey) akan mengangkat panggilan telefon yang saya buat. Cara jawabnya memang sangat menyakitkan hati apabila diingat kembali. Dia boleh cakap apa yang sudah terjadi itu sudah terjadi. Jika saya berada di tempat dia sekalipun, saya mungkin tidak angkat mengangkat panggilan itu.

“Tidak timbul soal bermadu di sini, kerana saya memang sudah nekad untuk bercerai dengannya. Kalau mereka kahwin sekalipun, saya akan pastikan yang saya bukan madu dia (Memey),” ungkap Abby yang bersedia untuk bertemu Memey biarpun hakikatnya dia jelek melihat pelakon baru itu.

Menurut Abby lagi, dia rasa tidak mungkin Norman akan datang merayu kepadanya lagi untuk menyelamatkan rumah tangga mereka seperti perceraian yang terdahulu. Kata Abby, sayangnya masih ada kepada Norman, cuma dia bimbang kasih sayang itu terus dipersiakan kembali.

Gugurnya air mata Norman

Ketika hadir di lokasi penggambaran drama Gerak Khas dengan membawa borang permohonan perceraiannya, kelihatan Abby cuba menepis tangan Norman yang mahu memegangnya. Suasana agak tegang tetapi kedua-duanya masih dapat berbincang secara baik. Sesekali terjatuh air mata Norman mengenangkan hala tuju rumah tangganya.

Memahami keadaan ini, ‘aksi’ mereka dibiarkan oleh media dan jurukamera yang hadir supaya kedua-duanya dapat berbincang secara baik di sudut lain.

Menurut Norman, dia bersedia memberi kerjasama kepada Abby memenuhi hasratnya untuk bercerai. Bagaimanapun dalam nada sedih, dia tetap berharap rumah tangga mereka dapat diselamatkan.

“Saya akan pertahankan rumah tangga kami demi anak-anak. Anak-anak harta dunia akhirat saya. Saya terima dengan reda setiap dugaan dan cabaran (termasuk merujuk kepada kes penangkapan khalwatnya dengan Memey) ini, sama ada ia dirancang atau sebaliknya. Setiap hari, saya berdoa semoga diberi petunjuk.

“Saya sedih sangat jika rumah tangga kami berakhir dengan perceraian. Dalam apa juga situasi dan keadaan, banyak hati yang perlu saya jaga. Abby masih isteri saya yang sah,” kata Norman yang bersedia untuk mendengar nasihat mana-mana pihak termasuklah pihak wartawan.

Norman juga sanggup menghadiri sebarang rundingan kaunseling jika ia menjadi alternatif terbaik untuk meredakan ‘masalah’nya dengan Abby.

Ditanya mengenai Memey, Norman seperti kenyataannya sebelum ini menafikan sebarang hubungan cinta terjalin antara mereka. Dia mengaku menyuruh Memey supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan dan bercanggah.

“Jika dia (Memey) bukan artis, mungkin ia tidak seteruk sekarang. Dia masih naif. Dia masih ada ibu bapa,” kata Norman sebelum Abby mencelah hingga tercetusnya kisah seperti di atas.

Berbuih bagi nasihat

Hip juga mendapatkan komen Datuk Yusof Haslam mengenai kisah Abby dan Norman yang kebetulan berada di tempat kejadian. Menurut pengarah tersohor ini, mereka perlu tenang berdepan dan menangani situasi yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, bukan tidak beliau menasihati mereka, sebaliknya sebagai orang yang lebih tua, sudah berbuih mulutnya memberi kata nasihat.

“Saya harap mereka akan menyelesaikan masalah ini dengan baik. Apa sekalipun yang bakal berlaku, ia adalah satu proses kehidupan. Biarpun hal ini bersifat peribadi, ia juga membabitkan imej drama kepolisian yang dilakonkannya kini,” katanya ringkas.

Sempat menenangkan dan memahami keadaan Abby yang cukup bercampur baur, Yusof memberitahu Abby supaya membuat keputusan dan bertindak secara rasional. Katanya kepada Abby, berilah masa kepada Norman untuk membuat keputusan berhubungan isu perceraian ini dan yang paling penting, fikirkanlah soal ketiga-tiga anak mereka iaitu Mohamed Danish, Marissa Dania dan Maria Danisha Hakim.

dipetik dari : BERITA HARIAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments

  1. LaLa says:

    sape yg sanguup bermadu dan dimadukan? hu3! mkn madu leh la…tp, xderknyer larat abeh satu botoi…manis bebenor…dah mkn byk jd pahit laks….xpown mkn cornflakes madu jerkla…senang celiter! hahaha! :)) :))

  2. LaLa says:

    isk…xbaek….tuh nada2 jeles tuh…xbaek mak buyung jeles2 dgn anak dara cam i neh…bwk2la bertenang yerk? anda tuh pembawak budak…nnt dok turun kt anak laks…jgn ikut cam cik elis tuh…diew jeles tuh…sbb dia xderk blog…wakakakakakah! (pergh! pedas x stetment i bg? baek punyer!!!) wahkakakakah! :)) :))

Leave a Reply