Tinta: Kemelut rumah tangga
Oleh Fadzlena Jafar
fadzlena@bharian.com.my
Setiap masalah perlu diselesaikan melalui perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian
SEPANJANG minggu lalu, kemelut rumah tangga beberapa pasangan selebriti menjadi tajuk perbualan hangat masyarakat sehingga menjadi pilihan muka depan akhbar tempatan. Tetapi, berita yang paling menyentap emosi masyarakat, tentunya berita tangkap khalwat pelakon berstatus suami dengan seorang pelakon muda, apatah pula ketika itu si isteri yang juga pelakon terkenal masih lagi berpantang selepas melahirkan anak ketiganya.
Sana-sini masyarakat menghentam si gadis yang dikatakan menjadi punca kepada keretakan rumah tangga pasangan berkenaan. Malah, si suami turut dihentam hebat berikutan adegan drama yang dilakukan sebelum itu terutama apabila menafikan gosip cinta tiga seginya dengan pelakon yang seksi itu.
Malah, sehingga ke hari ini, masyarakat masih lagi memberi tumpuan kepada kemelut rumah tangga berkenaan dan ramai yang ingin tahu penyudah kepada adegan drama itu. Adakah bakal berakhir dengan perceraian atau mungkinkah si isteri akan menerima nasib malang apabila si suami mengambil keputusan untuk berkahwin dengan teman wanitanya demi menjaga maruah gadis berkenaan?
Hakikatnya, rumah tangga mana yang tidak berantakan. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Ada kalanya punca yang menjadi masalah itu begitu kecil, tetapi tiada perbincangan antara kedua-dua belah pihak boleh menyebabkan masalah yang kecil menjadi besar.
Lebih-lebih lagi jika ada pula orang ketiga yang mencelah dalam keadaan bergelora itu. Daripada pasangan yang bergaduh itu boleh berbaik kembali, kehadiran orang ketiga mengeruhkan suasana apabila si suami merasakan dirinya lebih dihargai orang lain daripada isteri sendiri.
Justeru, tiada kesungguhan daripada dirinya untuk menjernihkan masalah kerana berasakan lebih selesa apabila berada di samping si teman baru itu. Maklum hubungan orang bercinta tidak sama dengan hubungan suami isteri yang terpaksa berkongsi tanggungjawab, apatah pula apabila sudah beranak-pinak.
Malah, kenyataan si suami bahawa kehadiran gadis berkenaan dalam hidupnya sedikit sebanyak memberi ketenangan terutama apabila berhadapan dengan masalah rumah tangga, sebenarnya dialog biasa yang sudah sering kali diungkapkan lelaki lain apabila berhadapan masalah sama, walaupun situasi berbeza.
Orang kata bila bercinta semuanya indah belaka, kata-kata dan layanan teman baru itu dilihat lebih baik daripada si isteri. Pendek kata, ketika itu teman baru itu jauh lebih baik daripada isteri yang terpaksa melakukan kerja rumah dan menjaga anak daripada pagi hari hingga ke tengah malam.
Semua pengorbanan isteri yang mengabadikan diri untuk kesenangan keluarganya dipandang sepi, sebaliknya perbuatan isteri yang sering membebel kerana kepenatan menguruskan rumah tangga, dianggap memualkan. Isteri mana yang tidak membebel jika suami selalu balik lambat dan tidak mengendahkan rumah tangga khususnya anak yang masih kecil.
Bagi kebanyakan lelaki, status suami bagaikan memberi lesen bagi mereka melakukan apa saja yang diimpikan dan menyerahkan tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak-anak sepenuhnya kepada isteri. Mereka boleh pergi memancing setiap malam, atau berkaraoke dengan rakan atau minum di kedai kopi sehingga lewat pagi, hanya kerana mereka adalah suami.
Apa yang mereka tahu, tugas isteri ialah menjaga anak dan menyediakan keperluan suami termasuk pakaian dan makan minum. Ringkasnya, apabila balik ke rumah, makanan sudah siap dihidangkan dan baju sudah siap digosok. Masalah lain khususnya berkaitan anak, tidak perlu ambil tahu asalkan mereka sudah memberikan wang untuk urusan rumah.
Lelaki perlu sedar, sebagai ketua keluarga, mereka adalah khalifah kecil yang memimpin keluarganya ke jalan yang diredai. Tanggungjawab sebagai suami begitu besar bukan sekadar memberikan wang untuk keperluan keluarga, sebaliknya mereka perlu memastikan segala keperluan rumah termasuk perkembangan anak dipantau sepenuhnya.
Tindakan keluar dari rumah atau melarikan diri kononnya untuk mencari ketenangan bukan jalan terbaik, sebaliknya anda hanya akan menimbulkan pelbagai masalah lain seperti apa yang sudah berlaku kepada pasangan selebriti yang sedang hangat diperkatakan.
Cara terbaik, hadapi masalah dengan bijak dan jangan lari daripada masalah. Perbincangan dihadiri orang lain khususnya yang mempunyai latar belakang agama dapat mungkin dapat merungkaikan masalah di hadapi. Kepada pasangan yang menghadapi kemelut rumah tangga, apabila berkahwin tumpuan kita ialah untuk membina keluarga yang bahagia hingga ke anak cucu, bukan keluarga yang berantakan hanya kerana ingin memuaskan hati sendiri. – fadzlena@bharian.com.my
Artikel dari : BERITA HARIAN (11/11/2008)