Gergasi timang anak

PERTEMUAN dengan lelaki paling tinggi di dunia, Bao Xishun boleh menyebabkan seseorang tergambar dia sudah berada di puncak pokok kekacang dan melangkah masuk ke istana gergasi, seperti di dalam buku cerita rakyat Inggeris, Jack and The Beanstalk.Bao yang setinggi 2.36 meter melayani tetamu yang bertandang ke rumahnya dengan duduk di atas kerusi besar yang dibuat khas untuknya. Tidak berapa lama lagi, dia akan berpindah ke rumah baru di Zunhua, bandar kecil berhampiran Beijing. Rumah yang lebih besar itu akan juga dilengkapi tandas saiz gergasi.

Jaket hitam yang dipakai lelaki yang diiktiraf oleh Buku Rekod Dunia Guinness sebagai orang paling tinggi di dunia itu sebesar kain langsir, dan impiannya untuk menimang anak akhirnya tercapai bulan lalu, walaupun pada usia yang sudah lanjut.“Keadaan saya kini lebih baik. Saya sudah mempunyai anak dan sudah pasti kehidupan saya lebih menggembirakan,” kata Bao dengan suaranya yang garau.

“Sudah sekian lama saya ingin menjadi bapa. Memegang anak saya buat kali pertama adalah saat paling meneyeronokkan, paling menyayukan. Saya sungguh gembira,” katanya.

Bao, 57, mula diiktiraf oleh Buku Guiness sebagai lelaki tertinggi di dunia pada 2005. Ekoran perisytiharan itu, dia menjadi selebriti dalam sekelip mata dan membolehkan dia memperoleh pendapatan dengan muncul serta menyertai penjelajahan ke Eropah, Asia dan Amerika Selatan yang ditaja oleh Guinness.

Sebelum diisytihar sebagai lelaki paling tinggi di dunia, Bao jarang keluar rumah kerana tidak selesa menjadi tumpuan orang ramai.

Dan kini, walaupun sudah menjadi terkenal, Bao memilih untuk menjalani kehidupan secara sederhana dengan menghabiskan masa menonton perlawanan bola keranjang di televisyen sambil berangan-angan untuk mencapai impian besar bagi anak yang sudah sekian lama dinanti-nantikannya, Tianyou.

“Saya mahu dia membesar menjadi pemain bola keranjang,” kata Bao yang pernah bermain untuk pasukan tentera China sebelum pergerakannya yang semakin lembap memaksa dia berhenti.

Bao menghabiskan sebahagian besar usianya hidup membujang kerana gagal mencari wanita yang bersedia menjadi isterinya. Dia menyentuh perasaan masyarakat dunia apabila mendedahkan dia hampir putus asa untuk mencari orang yang boleh dicintai dan boleh menyintainya.

Tetapi tidak lama selepas itu, muncul Xia Shujuan. Usaha Bao mendapatkan jodoh berakhir Mac lalu apabila dia berkahwin dengan Xia yang kini berusia 29 tahun dan berasal dari bandar yang sama dengannya — Chifeng di Pedalaman Mongolia.

Xia yang setinggi 1.68 meter, mempunyai harapan lebih tinggi untuk Tianyou yang dilahirkan dengan ketinggian 56 sentimeter, hampir sama dengan bayi normal.

“Saya gembira Tianyou bersaiz normal. Jika dia membesar hingga 1.8 atau 1.9 meter, saya akan berpuas hati,” katanya.

Tapi Bao pula berkata, dia tidak kisah sekiranya dia membesar sama tinggi dengannya.

“Dengan amalan pemakanan yang baik, saya pasti dia akan menjadi kuat dan sihat,” katanya.

Kegembiraan Bao memperoleh anak begitu ketara apabila dia sanggup bangun malam untuk membantu menjaga Tianyou bagi membolehkan Xia berehat.

“Saya juga bekerja keras untuk menyimpan wang bagi masa depan anak saya. Kehidupan saya sudah hampir sempurna. Yang saya harapkan kini ialah anak saya akan membesar dengan sihat. Saya harap dapat mengajar dia erti kehidupan, pentingnya berbuat baik dan bekerja keras.

“Saya berharap ketinggian saya akan membantunya memahami kepentingan bersikap terbuka dan menerima orang yang berbeza dengan anda,” katanya.

Bagaimanapun, Bao mengaku bukan mudah menjadi bapa.

“Saya bangga tetapi kecewa kerana saya tidak akan dapat memimpinnya apabila dia mula berjalan kelak. Dan kerana kesukaran saya bergerak, saya mungkin tidak dapat bermain dengan dia. Namun, saya pasti kami akan menemui jalan lain untuk bergembira bersama,” kata Bao.

Dilahirkan oleh pasangan ibu bapa bersaiz normal, Bao menjadi orang paling tinggi di Chifeng ketika berusia 16 tahun. Ketinggiannya berhenti meningkat hanya apabila dia berumur 22 tahun.

Walaupun gembira dengan pengiktirafan sebagai orang paling tinggi di dunia, namun, katanya, itu tidak penting.

“Melihat anak saya membesar dan gembira adalah paling utama,” katanya.

Bao juga berkata, dia kadang-kala kurang selesa dengan keadaannya.

“Saya kadang-kala berharap mempunyai saiz normal, sama seperti manusia lain. Untuk masuk ke rumah, menaiki kereta, mendiami hotel yang kacilnya terlalu pendek, semuanya menyebabkan saya tidak selesa. Menurutnya, untuk mencari kasutnya yang bersaiz 56 juga menjadi masalah.

Pada 2006, Bao hilang kedudukan sebagai orang paling tinggi di dunia kepada Leonid Stadnyk dari Ukraine yang dilapor setinggi 2.57 meter.

Bagaimanapun, Buku Guinness tidak mengiktiraf ketinggian seseorang yang berpunca daripada perubatan. Ia mengembalikan Bao pada kedudukan pertama orang paling tinggi di dunia selepas Stadnyk enggan menjalani pemeriksaan.

“Sebelum ini, saya beranggapan ada sesuatu yang tidak kena dengan saya. Saya bimbang. Tetapi selepas disahkan sebagai manusia paling tinggi secara asli, ia meredakan perasaan saya,” kata Bao.

“Dan ia ada kelebihannya. Jika saya perlu menukarkan mentol lampu, saya melakukannya tanpa perlu menggunakan tangga,” kata Bao sambil ketawa.

Bao juga menjadi tajuk akhbar pada 2006 apabila dipanggil untuk menggunakan tangannya yang panjang bagi menarik keluar plastik dari perut dua ikan lumba-lumba di sebuah akuarium di China.

Bao dan Xia buat sementara ini tinggal di sebuah apartmen kecil di Zunhua, kira-kira tiga jam perjalanan dengan kereta dari Beijing. Tidak lama lagi, dia tidak lagi perlu tunduk apabila memasuki rumah.

Pihak berkuasa sebuah taman bersetuju membina rumah khas yang boleh memenuhi keadaan Bao di perkarangan taman itu dengan harapan ia boleh menarik lebih ramai pelancong.

Rumah itu yang hampir siap mempunyai pintu setinggi 2.4 meter. Katil di bilik tidur utama juga sepanjang 2.4 meter dan sebuah tandas besar, yang mungkin mencatatkan rekod baru Guinness, juga akan disediakan.

“Tempat duduk tandas itu akan setinggi ini,” kata Bao, sambil mengangkat tangannya kepada paras kira-kira satu meter.

Kerana dia bangsa Mongolia, Bao dikecualikan daripada dasar satu anak yang dikuatkuasakan kerajaan China. Ini bermakna dia boleh menimang seorang lagi jika dia mahu.

“Satu sudah cukup,” katanya apabila diajukan soalan itu.

Tetapi Xia masih belum pasti.

“Masih terlalu awal. Kami akan putuskannya kemudian,” kata Xia.

Dipetik dari : HARIAN METRO (Isnin, 24/11/2008)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply