Padah pukul anak
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
SAKIT…kesan birat di belakang badan mangsa akibat dipukul bapanya, kelmarin. |
ALOR STAR: Akibat tertekan dengan sikap anak lelakinya yang terlalu aktif, seorang bapa yang dikatakan hilang sabar bertindak memukul belakang badan anaknya dengan rotan untuk mengajarnya supaya berlakuan baik.
Namun, tindakan bapa kanak-kanak berusia enam tahun itu akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis kerana disyaki mendera dan memukul mangsa selepas keluarganya membuat laporan berhubung kejadian itu, kelmarin.
Kejadian itu hanya disedari neneknya yang berusia 53 tahun pada malam Isnin lalu kira-kira jam 9 malam selepas mendapati belakang cucunya berbirat dan mangsa mengadu dipukul bapanya dengan rotan sehingga meninggalkan kesan.
Ketika kejadian, ibu mangsa berusia 30-an dan anak lelaki bongsunya yang berusia empat tahun turut berada di rumah mereka di kawasan perumahan di Kota Sarang Semut dan hanya mampu menyaksikan kejadian itu di depan mata mereka.
Nenek mangsa yang enggan dikenali berkata, bapa mangsa pernah memukulnya beberapa kali sebelum ini kerana tidak tahan dengan perangai anak sulung daripada dua beradik itu yang terlalu nakal tetapi kesan pukulan itu tidak seteruk pada kali ini.
“Kami pernah menasihatkan bapanya supaya jangan memukul sehingga mencederakan mangsa kerana dia masih kecil tetapi kali ini kami sudah hilang sabar apabila melihat kesan birat akibat kesan dirotan di belakang badan cucu kami.
“Berikutan itu, kami terpaksa membuat laporan di Balai Polis Kota Sarang Semut untuk memaklumkan kejadian itu kelmarin dan biar polis yang menyiasat kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kanak-kanak itu kemudian dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan dan ditempatkan di wad kanak-kanak hospital itu sejak malam kejadian.
Menurut neneknya, keadaan cucunya kini sudah beransur pulih dan dijangka dibenarkan keluar wad tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan setakat ini pihaknya sudah menahan bapa mangsa yang berusia 30-an untuk membantu siasatan kes berkenaan.
“Kami sudah menahan suspek pagi semalam untuk membantu siasatan dan setakat ini kanak-kanak masih dirawat di HSB,” katanya.
Dipetik dari : Harian Metro