MEMPERINGATI 37 TAHUN TOURISM MALAYSIA

10 OGOS 2009
MEMPERINGATI 37 TAHUN
TOURISM MALAYSIA

1972 – 2009

——————————————————————————–

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA
Memacu Industri Pelancongan Ke arah Kegemilangan di Persada Dunia

Sejarahnya bermula sebagai sebuah Jabatan Pelancongan yang kecil di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian pada 1959. Susulan daripada kejayaan Malaysia menganjurkan Persidangan PATA pada tahun 1972, maka pada 10 Ogos 1972 kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia (PKPM) mengikut Akta Parlimen (Akta PKPM 1972) di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian ketika itu.

Semenjak penubuhannya, Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia yang juga dikenali sebagai (TDC) telah berkembang pesat dan menjadi salah satu agensi utama yang mencorakkan keadaan sosio ekonomi negara seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Hasil dari kejayaan-kejayaan yang diterajui Perbadaan Kemajuan Pelancongan Malaysia, maka pada 20 Mei 1987, sebuah kementerian baru ditubuhkan oleh kerajaan iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Secara langsung Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia telah dipindahkan dari Kementerian Perdagangan dan Perindustrian kepada Kementerian yang baru ini

Sejajar dengan perkembangan industri pelancongan global, maka pada bulan Mei 1992, Akta PKPM 1972 telah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta LPPM tahun 1992 bagi memantapkan fungsi dan skop PKPM supaya lebih relevan dan berdaya saing. Dengan ini, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau lebih dikenali dengan singkatnya ”Tourism Malaysia” telah ditubuhkan. Fungsi pembangunan dan penguatkuasaan yang dahulunya di bawah PKPM kini telah dimansuhkan bagi memberi tumpuan khas terhadap program-program memasarkan Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan lebih efektif. Penggunaan nama ” Tourism Malaysia” pula dibuat secara meluas demi mengwujudkan jenama korporat (corporate branding) yang konsisten. Metod ini telah diilhamkan oleh Y.B. Dato’ Paduka Abdul Kadir bin Haji Sheikh Fadzir (kini Tan Sri) yang ketika itu merupakan Pengerusi LPPM merangkap Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.

Industri pelancongan terus diwarnai apabila rombakan Kabinet pada 27 Mac 2004 telah menyaksikan pengwujudan satu Kementerian yang khusus yang dikenali Kementerian Pelancongan Malaysia. Dari saat itu, Tourism Malaysia kini secara rasminya bernaung di bawah Kementerian ini.

Melihat kejayaan-kejayaan tersebut, sebagai seorang warga Tourism Malaysia, kita sekarang berasa gembira dan bangga kerana telah memainkan peranan yang penting di dalam kemajuan sektor pelancongan negara. Kini, industri pelancongan bertindak sebagai pemangkin (catalyst) pertumbuhan dan menjadi salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan. Tahun 2008, industri pelancongan telah mencatatkan ketibaan seramai 22,052,488 orang pelancong iaitu pertambahan sebanyak 5.1% berbanding seramai 20,972,822 orang pelancong untuk tahun 2007, dan ini mencatat jumlah pendapatan pelancongan sebanyak RM49,561.2 tahun 2008 berbanding tahun 2007 iaitu RM46,070.0.

Dalam menyambut 37 tahun Tourism Malaysia ini, marilah sama-sama bersatupadu dan eratkan silaturrahim antara kita, berbaik sangka, amanah, berintegriti seterusnya bekerja keras bagi pencapaian dan sumbangan kita kepada negara.

Bersama-samalah kita bersatu hati dan setia dalam memperkasakan organisasi dalam menghadapi daripada cabaran-cabaran dari luaran atau dalaman. Kita satu keluarga, hendaklah berpegang teguh kepada pepatah iaitu ”Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”. ”Pisang Sesikat Di Gulai Sebelanga, Duduk Dekat-Dekat Kita Kerjasama”.

Bersama-sama kita berdoa kepada Allah S.W.T. semoga Tourism Malaysia, warganya & keluarga, industri pelancongan dan negara terus dilindungi dan diberkati agar sentiasa harmoni, maju, dihormati dan cemerlang.

Sekian.

– Di petik dari Laman Web JOMLA!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply