Pantang larang ber e-mel

Dewasa ini, e-mel merupakan cara berkomunikasi yang popular. Walaupun tidak bersua muka dengan si penerima e-mel, setiap orang perlu mengetahui etika sesuai apabila berurusan dengan insan lain. Jangan anggap anda tidak dapat melihat muka si penerima bermakna anda tidak perlu menjaga hati dan perasaan mereka. Berikut adalah peraturan yang perlu anda ambil perhatian apabila anda berkomunikasi menggunakan e-mel dalam kehidupan seharian.

PERATURAN PERTAMA

– Apabila menghantar e-mel, dilarang menggunakan HURUF BESAR apabila menaip keseluruhan mesej anda. Menggunakan HURUF BESAR dalam mesej e-mel boleh disamakan seperti menjerit pada penerima. Keadaan ini juga boleh dikira kurang sopan dalam lingkungan penggunaan Internet. Jika anda mahu menggunakan perkataan tertentu, anda seharusnya meletakkan tanda (*) sebelum dan selepas perkataan tersebut.

PERATURAN KEDUA

– Sebelum menghantar mesej elektronik, anda seharusnya membaca semula bagi memastikan kesahihan maksud yang hendak anda sampaikan itu. Jika menghantar e-mel bagi urusan rasmi, pastikan setiap perkataan dan ejaan yang ditulis tidak mengandungi sebarang kesalahan. Perlu diingat bahawa mesej e-mel anda melambangkan diri anda sebagai seorang individu terutamanya pada si penerima e-mel. Penulisan bahasa rojak pula hanya boleh dilakukan terutamanya kepada kawan baik ataupun mereka yang betul-betui anda kenal sahaja.

PERATURAN KETIGA

– Dilarang ‘spam’. Menghantar ‘spam’ kepada seseorang bermakna anda menghantar sebarang bentuk pengiklanan dan beberapa bentuk ‘junk’ e-mel kepada si penerima tanpa kebenaran mereka. Bukan sahaja kurang sopan tetapi ‘spamming’ adalah
kesalahan besar dalam dunia internet. Sebelum menghantar sebarang bentuk pengiklanan
dan sebagainya, anda perlu memastikan anda mendapat kebenaran mereka.

PERATURAN KEEMPAT

– Tidak seperti komunikasi dua hala yang membolehkan seseorang itu bersemuka dengan si penerima, e-mel kehilangan bentuk penggunaan pergerakan badan seperti senyum, menangis, ketawa dan sebagainya. Bagi menggantikan penggunaan pergerakan badan, penghantar e mel selalunya menggunakan simbol yang dikenali sebagai ’emoticon’. Anda boleh menggunakan ’emoticon’ bagi membantu anda memberitahu perasaan dan fikiran anda. Sebagai contoh, untuk menunjukkan anda tersenyum, anda boleh gunakan noktah bertindih, sengkang dan penutup kurungan seperti berikut:-). Terdapat pelbagai bentuk dan simbol yang boleh anda ciptajika anda kreatif.

PERATURAN KELIMA

– Jangan hantar e-mel HTML, kecualilah anda diminta berbuat sedemikian. HTML tidak boleh dibaca melalui program atau server e-mel, dan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk dimuat turun. Kadangkala perkataan yang bewarna-warni dan menarik boleh menyebabkan sesuatu program e-mel terganggu. Ini bukan satu impresi yang sesuai untuk ditunjukkan kepada si penerima.

PERATURAN KEENAM

– Apabila membalas e-mel, Jangan balas semula kepada senarai nama penerima e-mel yang tertera, kecualilah Jika keadaan memerlukan. Jika anda menghantar (forward) e-mel dan ia dihantar semula kepada anda, buang tanda ‘>’ yang terdapat pada setiap baris.

PERATURAN KETUJUH

-Jangan hantar e-mel yang tidak berguna dan tidak mempunyai maksud tertentu. Kecualilah anda pasti bahawa si penerima mempunyai masa untuk membacanya. Jika menghantar e-mel juga pastikan anda tulis dengan ringkas dan jelas. Si penerima mungkin tidak mempunyai masa untuk membaca e-mel yang terlalu panjang atau tidak berminat dengan penghantaran anda.

PERATURAN KELAPAN

– Akhiri setiap e-mel dengan menulis nama anda bagi menggantikan tandatangan. Cara sebegini menunjukkan bahawa anda seorang yang bersopan. Namun perlu diingat, tulis dengan jelas dan pendek.

BERIKUT ADALAH PERKARA YANG TIDAK BOLEH ANDA LAKUKAN MELALUI E-MEL
1. Perpisahan memerlukan anda bersemuka (ataupun) sekurang-kurangnya menggunakan telefon. Apabila menggunakan e-mel, ia seperti menunjukkan bahawa anda seorang yang tidak berhati perut.

2. Jangan mengajak seseorang keluar melalui e-mel. Secara jujur, apakah pandangan anda terhadap mereka yang mengajak anda keluar dengan cara sebegini? Berkemungkinan si penghantar e-mel menganggap anda seorang yang pendiam dan tidak mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi. Walaupun apa yang difikirkan oleh si penghantar mungkin benar, tetapi anda tentu tidak mahu memberinya pandangan sedemikian!

3. Tidak kiralah bagaimana hebatnya cara penulisan anda, Jangan sesekali menggunakan e-mel untuk menunjukkan perasaan marah anda. Jika anda mendapat e-mel sebegini pula, Jangan jawab dengan segera. Paling elok jika anda tidak langsung menjawabnya.

Nota kaki : maka gunakanla emel itu dgn sebijak dan sebaik2nya…hehehe…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments

Leave a Reply to nuyin2u Cancel reply