Colours of 1Malaysia 2010

Pengumuman penutupan jalan sempena “Colours of 1Malaysia 2010”
Acara tahunan Kementerian Pelancongan dianjurkan dengan kelainan

KUALA LUMPUR, 19 Mei 2010 – Bagi memeriahkan acara “Colours of 1Malaysia 2010”, beberapa jalan yang terbabit dalam perarakan sekitar Dataran Merdeka akan ditutup kepada lalulintas selama tiga hari berturut-turut.

Jalan-jalan berkenaan ialah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Isfahan yang akan ditutup pada waktu-waktu berikut:

  • 20 Mei 2010 – Dari jam 7.00 malam hingga 1.00 pagi
  • 21 Mei 2010 (raptai penuh) – Dari jam 5.00 petang hingga tamat raptai
  • 22 Mei 2010 – Dari jam 5.00 petang hingga acara tamat

Beberapa laluan di sekitar Kuala Lumpur yang menuju ke Dataran Merdeka akan turut ditutup sepanjang tempoh berkenaan mulai jam 5.00 petang hingga jam 1.00 pagi dan laluan-laluan tersebut adalah:

  • Jalan Lebuh Ampang
  • Jalan Lebuh Pasar
  • Jalan Tun Perak
  • Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Jalan Raja
  • Jalan Raja Laut menuju Jalan Raja

Orang ramai yang berhasrat untuk hadir menyaksikan acara ini digalak menggunakan pengangkutan awam seperti Keretapi Aliran Ringan (LRT), komuter dan bas RapidKL yang akan melanjutkan perkhidmatan mereka sehingga jam 1.00 pagi pada 22 Mei 2010.

“Colours of 1Malaysia 2010” adalah acara tahunan anjuran Kementerian Pelancongan dan pada tahun ini akan dipersembahkan dengan tema dan konsep yang berbeza dalam suasana gilang-gemilang.

Berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, acara pada tahun ini dipersembahkan dengan tagline “Perarakan Pelancongan Malaysia Terhebat” dengan persembahan berdasarkan konsep 5 zon yang telah dipilih mengikut kesesuaian produk pelancongan iaitu:

  1. Persembahan Zon Pantai Timur – “Homestay”
  2. Persembahan Zon Utara – “Fabulous Food 1Malaysia” (atau Pesta Makanan dan Buah – buahan)
  3. Persembahan Zon Tengah – “Jualan Mega dan lokasi membeli belah”
  4. Persembahan Zon Selatan – “Pulau-pulau dan Pantai-pantai yang indah”(atau Golden Beaches and Islands
  5. Persembahan Zon “Eko-pelancongan”

Manakala 3 kumpulan etnik berikut pula akan membuat persembahan kaum masing-masing secara berselang-seli dengan persembahan produk pelancongan:

  • Persembahan Sewang – Orang Asli
  • Persembahan Masyarakat Cina
  • Persembahan Masyarakat India

Acara akan bermula seawal jam 5.00 petang pada 22 Mei 2010 dan dianggarkan seramai 6,000 orang peserta akan mengambil bahagian dalam perarakan pada kali ini.

Perarakan persembahan akan diadakan sepanjang 1.5 km yang bermula dari Jalan Raja menuju ke Jalan Raja Laut, terus ke Jalan Isfahan, kemudian ke Jalan Tunku Abdul Rahman dan akhir sekali masuk semula ke Jalan Raja di Dataran Merdeka.

Pelancaran rasmi akan disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Hj. Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak juga dijangka hadir pada malam itu.

Persembahan “Wajah-wajah 1Malaysia” (atau Faces of 1Malaysia) yang dipertontonkan di Washington semasa lawatan YAB Perdana Menteri Malaysia ke sana baru-baru ini, akan turut dipersembahkan kepada tetamu-tetamu serta pengunjung yang hadir di Dataran Merdeka pada malam itu.

“Colours of 1Malaysia 2010” adalah satu persembahan street performance yang mula diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia pada tahun 1999 dengan tujuan utama menarik lebih ramai pelancong dari luar berkunjung ke negara ini. Di samping itu, penganjurannya juga adalah bagi menyerlahkan kekayaan warisan budaya negara melalui muzik, nyayian dan tarian.

Satu persembahan mega Dikir Barat yang akan mencatat penyertaan paling ramai iaitu seramai 5,000 orang peserta dalam “Malaysia Book of Record”. Persembahan perarakan “Colours of 1Malaysia” akan diakhiri dengan persembahan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia yang gerak tarinya dicipta khas oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments

Leave a Reply