Tourism Malaysia Anjur Kempen ”Mersing Berseri” Dan Program Johor Dive X-Ploration (Jd-X)

Tourism Malaysia menganjurkan kempen “Mersing Berseri” di Pantai Air Papan, Mersing pada 9 Jun 2010 dan program Johor Dive X-Ploration (JD-X) yang meliputi Mersing, Pulau Aur, Pulau Dayang dan Pulau Pemanggil dari 8 hingga 13 Jun sebagai usaha untuk mempromosikan pelancongan marin dan menyemai sikap cintakan alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, YB Encik Hoo Seong Chang merasmikan kempen tersebut.

Objektif penganjuran kempen “Mersing Berseri” adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat Mersing mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan pantai peranginan serta mendidik mereka untuk menggunakan bahan-bahan mesra alam yang telah disediakan seperti tong sampah kitar semula demi memelihara dan memulihara alam sekitar.

Kempen yang disertai lebih daripada 200 orang itu terdiri daripada para penduduk tempatan, para peserta Program Latihan Khidmat Negara, pelbagai agensi kerajaan tempatan, para penggiat industri pelancongan dan wakil-wakil media.

Satu seminar bertajuk Pelancongan Marin – Kreativiti dan Inovasi turut dianjurkan pada 10 Jun di Hotel Seri Mersing, Johor dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Mirza Mohammad Taiyab.

Seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada para penggiat industri pelancongan dan wakil media menyertai seminar tersebut yang memberi ruang kepada para pesertanya untuk memperbaiki perkhidmatan serta pakej percutian dan produk pelancongan yang ditawarkan agar lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa; selain mengukuhkan kerjasama; dan mewujudkan jalinan pemasaran sesama mereka.

Para peserta seminar tersebut turut berpeluang mempelajari aspek-aspek perundangan laut, mengenali habitat serta hidupan marin yang terdapat di perairan Johor serta mempelajari teknik berkesan untuk mempromosikan Pulau Aur sebagai destinasi percutian yang unggul yang disampaikan oleh wakil daripada Jabatan Laut Negeri Johor, Jabatan Taman Laut Negeri Johor dan Encik Clement Lee, Pengarah Urusan Borneo Diver’s and Seasports Sdn. Bhd.

Selain itu, satu lawatan suaikenal yang dinamakan Johor Dive X-Ploration (JD-X) turut diadakan dari 10-12 Jun 2010 bagi mempromosikan Pulau Aur sebagai salah satu lokasi paling ideal untuk aktiviti menyelam  di Taman Laut Johor. Program ini disertai oleh para penggiat industri pelancongan, wakil-wakil media dan wakil pelbagai agensi kerajaan tempatan seramai lebih daripada 50 orang. Para peserta akan ditempatkan di Resort Pulau Dayang.

Selain Pulau Aur, para peserta JD-X juga akan mengunjungi pulau Pemanggil untuk memeriksa taraf infrastruktur dan tempat-tempat penginapan yang terdapat di kedua-dua pulau tersebut.

Selebriti terkenal, Fauziah Latiff yang merupakan Duta Konservasi Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Coral Malaysia (Coral Malaysia) turut menyertai keseluruhan program di Mersing ini. Penganjuran program ini juga membabitkan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Majlis Daerah Mersing, Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Johor, Wilayah Maritim Selatan, Scubatex Resources dan Gemilang Zamrud Sdn Bhd.

Untuk maklumat lanjut berkenaan kempen “Mersing Berseri” dan seminar Pelancongan Marin – Kreativiti dan Inovasi, sila hubungi Encik Hasrizal Muhammad Shawal, Pegawai Pelancongan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 03–2615 8188 atau emel hasrizal@tourism.gov.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Johor Dive X-Ploration (JD-X), sila hubungi Puan Noral’Ain Bt. Md. Salleh, Pegawai Pelancongan, Pejabat Tourism Malaysia Negeri Johor di talian 07–222 3590, 013-752 5859 atau emel noralain@tourism.gov.my.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply