Berpesta Seni Di Festival Kuala Lumpur 2010

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Belum lagi reda demam bola sepak dunia, warga Kuala Lumpur bakal berpesta seni pula apabila lebih 100 program seni dan budaya disajikan di ibu kota sempena Festival Kuala Lumpur 2010 yang akan berlangsung sepanjang Julai ini.

Mengekalkan tema “Di Sini Semaraknya Seni‘ sejak festival itu diperkenalkan pada 2006, KL Festival 2010 akan dimeriahkan dengan 115 aktiviti dan acara seni persembahan, seni tampak, warisan, permainan tradisi, bahasa dan persuratan, aktiviti pelancongan dan rekreasi.

Sejak minggu lepas, Kuala Lumpur yang dihuni lebih dari 1.5 juta penduduk, sudah dihiasi sepanduk KL Festival di beberapa tempat strategik sekitar ibu negara terutamanya kawasan tumpuan pelancong.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijadual menyempurnakan majlis pelancaran KL Festival 2010 pada Ahad ini di Taman Tasik Titiwangsa.

Bagi yang ternanti-nantikan acara ini pastinya akan teruja dengan susunan program pengisian KL Festival 2010 yang akan diadakan di beberapa lokasi pelancongan utama sekitar ibu kota, antaranya Dewan Bandaraya Kuala lumpur, Istana Budaya, Filem Negara (Finas), Kraftangan Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia (Motour), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Galeri Petronas, Menara Kuala Lumpur, Actors Studio dan Central Market.

Antara acara hebat KL Festival 2010 ialah 8 konsert pelbagai genre muzik terdiri Konsert Ella bersama Koir Kebangsaan yang akan berlangsung di Istana Budaya, Konsert Gambus: Tradisi ke Fusion (Taman Tasik Titiwangsa), Konsert Alam (Zoo Negara), Konsert Hujan Vs Bunkface (KL Live Hall, Life Centre).

Konsert Akhir Rentak Juara RTM (Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana), Konsert Dir…Suara 1Malaysia oleh Koir Kebangsaan (KL Live Hall, Life Centre), Muzikal ‘Nanta Cooking’ (Plenary Hall, KLCC) dan Konsert Zainal 31st Green Anniversary (Menara KL).

Peminat teater pula pasti akan ternanti-nanti persembahan muzikal broadway “SHOUT! The Mod Musical” versi Malaysia yang turut tersenarai antara program utama KL Festival tahun ini.

SHOUT! The Mod Musical” yang mengisahkan lima wanita yang cintakan fesyen terkini semasa era 60-an dan 70-an, akan menampilkan artis popular Ning Baizura untuk watak utama di samping Niki Palikat, Tria Aziz, Shanel Shanty James dan Tisha Zarina.

Ia akan dipentaskan di Pentas 1, Kuala Lumpur Perfoming Art Centre (KLPAC) dari 17 hingga 21 Julai.

KL Festival 2010 turut mempunyai senarai teater lain antaranya persembahan Teater Muzikal Uda dan Dara, Teater Muzikal Cuci, Teater Tradisional Mak Yong, Teater Tradisional Ulek Mayang dan Semarak Bangsawan Aladdin, After Juliet (Inggeris) dan Apedi Apedi (Tamil).

Peminat filem boleh menuju ke Finas di mana lapan filem baru iaitu Santau, My Spy, Evolusi KL Drift 2, Pisau Cukur, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Duhai Si Pari-Pari, Adnan Semp-it dan Niyang Rapik, bakal ditayangkan.

KL Festival akan turut dimeriahkan dengan program bacaan puisi, promosi kerja Kahwin, Pameran Keranda dan Ular vs Ular, Pameran Foto, persembahan Seniman Jalanan (buskers) dan persembahan Opera Cina.

Bagi menarik minat masyarakat luar, termasuk pelancong antarabangsa, Kementerian Pelancongan akan menganjurkan beberapa program termasuk KL 1Malaysia Family Fair dan 1Malaysia Contemporary Arts, manakala Tourism Malaysia pula akan menganjurkan Karnival Mega Sale Malaysia dari 24 Julai hingga 16 Sept.

KL Festival 2010 dianjurkan bersama oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraaan Bandar bertujuan menjadikan Kuala Lumpur pusat kesenian bertaraf antarabangsa.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments

Leave a Reply to sumijelly Cancel reply