Panduan : Bercerai susu

BERCERAI SUSU. Inilah istilah digunakan untuk proses pertukaran daripada susu badan kepada susu botol (formula), susu badan atau botol kepada penggunaan cawan dan susu badan atau botol kepada makanan pejal.

Bayi anda akan melalui satu atau lebih daripada fasa bercerai susu ini. Biasanya proses bercerai susu akan berjaya jika dilakukan secara perlahan-lahan atau berperingkat dalam masa beberapa minggu atau bulan.

Memberhentikan penyusuan badan kadang kala boleh menyebabkan perubahan besar kepada ibu dan anak. Selain kesan fizikal, anda juga akan mengalami kesan emosi. Sesetengah wanita berasa sedih kehilangan keakraban antara ibu dan anak ketika menyusukan bayi mereka.

Tetapi anda akan berasa lebih bebas kerana ada ‘pihak’ lain yang akan menyusukan bayi mereka. Jangan terkejut jika anda berasa sedih dan gembira; anak anda akan belajar untuk berdikari.

Bagaimana anda tahu adakah anak anda bersedia untuk bercerai susu? Tanda seseorang bayi sudah sedia bercerai susu biasanya datang apabila mereka mula belajar merangkak atau berjalan. Bayi yang menyusu badan akan mula menunjukkan tanda hilang minat untuk menyusu.

Bayi yang menyusu botol pula bersedia untuk bercerai susu apabila mereka mula buat perangai, tidak lagi mahu mengemam puting susu atau menyorokkan botol sebelum habis. Bayi anda akan mula menunjukkan minat untuk minum menggunakan cawan.

Bila masa terbaik untuk bercerai susu?

Tiada masa yang betul atau salah. Malah, bayi anda mungkin mengambil masa lebih lama berbanding kanak-kanak sebayanya; ia bergantung kepada kesediaan anda dan bayi untuk melalui proses ini.

Ada ibu menunggu sehingga anak mereka lebih besar kerana tidak bersedia melepaskan keakraban dengan anak ketika proses penyusuan. Sebaliknya, ada ibu mahu proses berkenaan lebih cepat kerana tanggungjawab lain.

Untuk proses ini, andalah yang perlu membuat keputusan dan menentukan masanya. Jangan cuba memberhentikan penyusuan ketika anak atau keluarga mengalami tekanan. Tekanan ini ada pelbagai bentuk, termasuklah ketika bayi tumbuh gigi, berpindah ke rumah baru atau anda mula menghantar anak ke pusat jagaan.

Apakah cara terbaik untuk bercerai susu?

Cara terbaik untuk ibu dan anak ialah dengan melakukan proses ini secara berperingkat atau perlahan-lahan. Perhatikan tanda-tanda jika anak anda sudah sedia. Apabila sampai masanya, cuba berhentikan satu langkah dalam masa lima hingga tujuh hari.

Ini akan memberikan anda dan bayi masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Jika anda menyusukan badan, bercerai susu secara perlahan-lahan akan membantu mengelakkan buah dada anda daripada menjadi terlalu ‘penuh’ yang boleh membuatkan ia bengkak.

Dalam tempoh ini bagaimana anda boleh memenuhi keperluan pemakanan bayi?
Berikan susu badan kepada bayi anda sekurang-kurangnya setahun atau selama mana anak mahu. Perkenalkan makanan pejal yang diperkaya dengan zat besi apabila bayi berumur enam bulan untuk melengkapkan susu badan.

Bagi bayi yang diceraikan-susu badan atau botol sebelum berumur 12 tahun, berikan susu formula yang diperkaya dengan zat besi bukannya susu lembu atau kambing. Malah, anda juga boleh memberikan susu badan (diperah) melalui botol susu atau cawan; mengikut kesesuaian.

Apa yang boleh dilakukan jika bayi tidak mahu bercerai susu?

Masalah ini memang kerap berlaku. Kadang kala si ibu mahu memberhentikan penyusuan tetapi bayi masih belum bersedia. Jika boleh, teruskan pemberian susu untuk sedikit masa lagi. Cuba tawarkan susu dalam cawan sebelum anda memberikan susu badan. Atau anda juga boleh cuba menukar puting susu.

Sesetengah bayi sukar untuk ‘berpisah’ dengan botol susu mereka. Untuk keadaan ini, jangan biarkan anak anda merangkak, berjalan atau tidur bersama botol susu mereka. Namun, penyusuan ketika tidur malam adalah saat paling sukar untuk tidak memberikan anak anda susu. Cuba gantikan waktu menyusu ini dengan tabiat baru seperti membacakan mereka buku atau melihat bintang bersama-sama.

Memulakan pemberian makanan pejal

Masa terbaik untuk memberikan makanan pejal bergantung kepada kesediaan setiap bayi. Secara umumnya kanak-kanak memerlukan makanan pejal apabila kalori daripada susu sudah tidak mencukupi. Keperluan ini boleh dilihat apabila bayi boleh menghabiskan sebotol penuh susu tetapi berasa lapar semula dalam masa dua atau tiga jam kemudian. Ini biasanya berlaku pada usia enam bulan.

Bayi yang lebih kecil (kurang enam bulan) sukar menelan makanan pejal walaupun sesetengahnya boleh menelan makanan pada usia lebih muda jika makanan diletakkan di belakang lidah. Ada ibu bapa memaksa bayi kecil untuk makan banyak makanan pejal dengan harapan anak akan tidur lena sepanjang malam.

Bagaimanapun, ia bukan langkah baik kerana boleh menyebabkan anak anda mendapat radang paru-paru (pneumonia) dan masalah makan kemudian hari. Kebanyakan bayi makan makanan pejal selepas menyusu kerana dapat memuaskan kehendak mereka untuk menghisap puting dan pada masa sama mengatasi rasa lapar.

Bayi dan kanak-kanak kecil lebih mudah mengalami masalah alahan atau tidak toleran terhadap makanan berbanding kanak-kanak besar dan orang dewasa. Jika banyak jenis makanan diberi pada satu masa, agak susah untuk menentukan makanan mana yang menyebabkan reaksi alahan.

Justeru, anda sepatutnya memperkenalkan jenis makanan secara berperingkat; satu jenis untuk satu minggu. Jika ia boleh diterima dengan baik barulah perkenalkan makanan lain kepada bayi anda. Melalui cara ini, anda boleh mengenalpasti makanan mana yang boleh menyebabkan alahan pada anak.

Mulakan dengan bijirin diikuti buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan lain seperti sumber protein (daging) diperkenalkan lebih lewat iaitu apabila anak berusia tujuh bulan. Beri anak makan melalui sudu supaya bayi anda boleh belajar teknik pemberian makanan yang baru. Pada umur enam hingga sembilan bulan, kanak-kanak biasanya sudah pandai memegang makanan dan membawanya ke mulut. Jadi mereka perlu digalakkan untuk makan sendiri.

Anda perlu berhati-hati kerana bayi mudah tersedak atau tercekik oleh makanan keras seperti kacang, lobak mentah, gula-gula atau biskut kraker. Elakkan makanan ini. Jika mahu diberikan, pastikan ia dikisar. Anda boleh menyediakan sendiri makanan untuk si kecil dan langkah ini lebih menjimatkan.

Walaupun bayi suka makanan manis, tetapi gula bukanlah nutrien yang penting dan sepatutnya diberikan dalam kuantiti kecil; jika perlu. Jika tidak, jangan perkenalkan gula kepada anak anda. Jangan berikan sajian manis kerana tidak bermanfaat untuk anak anda. Jangan berikan anak anda makanan pejal terlalu awal dan sebaiknya tunggu bayi berumur antara empat hingga enam bulan.

Perkenalkan sedikit makanan baru kepada bayi apabila dia lapar iaitu sebelum dia diberikan susu. Kemudian, perlahan-lahan tambah kuantiti makanan untuk anak anda. Jangan biarkan neofobia (takut kepada makanan baru) melanda anak anda. Jangan paksa anak untuk menerima makanan baru tetapi perlahan-lahan ajak dia makan. Ingat, susu sudah cukup untuk membekalkan keperluan anak sehingga dia berusia enam bulan.

Paling penting, jadikan masa makan sebagai masa yang menyeronokkan. Kasih sayang dan perhatian anda akan merangsang anak untuk makan dan menikmati suasana seronok bersama keluarga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

16 comments

  1. ksarah says:

    anak akak bercerai susu bila dapat adik baru je…mcm ne ek? nak juga relax2…dah 6 tahun tak bernhenti menyusu… 🙁 semuanya berhenti bila tgk adik diorg menyusu. Try la cari petua yang senang dan cepat hehehehhe

    • sumijelly says:

      @lydzar,
      hehehe….tu la.. setiap anak x sama acuan nya..
      ada yg mudah ada yg sukar… kita kene pandai mengaturkanya..
      cuba la cara2 yg senang untuk wean off kan hannah…
      good luck..

  2. Putubambu says:

    his…sangat le informative..

    kita pun tgh try2 nak hentikan susu badan kat baby kita ni.. nak bagi dia susu botol pulak..

    pasal nak buat keje ape pun susah kalau kita ada sama ngan dia.. hatta nak gi toilet sekalipun… dia asik nak melekap je..
    kalau ngan kita..langsung dia taknak susu botol…
    .-= Putubambu´s last blog ..Good One! =-.

    • sumijelly says:

      @Putubambu,
      la ye ker?? ishk..susah la kalu nak buat kerja mcm tu kan??
      tp ada chance nak ngelat buat kerja klau g umah org..hahahaha….
      alhmadulilah.. anak sumi yg kecik tu dh menyusu botol..kira selamat cikit..hehee

  3. hanum hassim says:

    salam semua.. saya tengah mencari jalan untuk bercerai susu dengan anak kedua.. sebab sekarang ni dia menyusu badan penuh dengan saya selama setahun sebulan ni.. saya cuba perkenalkan susu formula dan menggunakan macam2 jenis botol tapi masih belum berkesan.. dia sanggup menangis daripada menerima susu botol yang saya buat..saya perlukan bantuan.. terima kasih.

Leave a Reply