Qiamullail ambang Ramadan

Orang ramai bersalaman dengan Osman Ibrahim (duduk) selepas majlis Qiamullail di Surau Bangi Perdana, Selangor, baru-baru ini.

RAMADAN akan menjelang hanya beberapa hari lagi. Ia akan dipenuhi dengan segala macam keberkatan yang harus direbut oleh semua umat Islam.

Malah bahang Ramadan sudah terasa sejak bulan Syaaban lagi. Ini kerana dalam bulan ini jugalah tidak kira individu, komuniti, persatuan akan mengadakan pelbagai majlis kenduri demi menyambut ketibaan Ramadan yang mulia serta sebagai memenuhi hajat mereka.

Di Surau Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini diadakan majlis qiamullail dan ceramah perdana. Majlis yang anjuran Jawatankuasa surau tersebut, sekurang-kurangnya telah membawa semangat ukhuwah dan persaudaraan khasnya kepada penduduk Islam di situ.

Majlis dimulakan tepat pukul 4 pagi dan berakhir 5.45 pagi itu diketuai oleh tuan guru yang dijemput khas dari Kedah iaitu Ustaz Osman Ibrahim. Beliau memang terkenal sebagai pengasas melodi munajat sekitar tahun 90-an. Alunan zikirnya mampu menyentuh nurani para jemaah, malah setiap perkataan yang diucapkan menjadi pembersihan jiwa dan penyucian hati kepada para peserta.

Acara dimulai dengan solat sunat tahajud, diikuti solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat dan ditutupi dengan solat sunat witir.

Omar semasa dalam munajat telah menyentuh siapa diri kita, sejauhmana amalan kita dan bagaimana ketika kita di alam kubur dan seterusnya di padang mahsyar, agar benar-benar menjadi orang yang beriman dan patuh perintah Allah SWT.

Hampir keseluruhan jemaah tidak dapat menahan kesedihan telah menitiskan air mata, merasakan keinsafan serta mengenal diri.

Pada kuliah Subuh, Osman turut menasihati jemaah supaya menguatkan ibadah, sentiasa mengingati kematian dan berpesan supaya seseorang itu tidak seperti besi buruk, berkarat dan tidak berguna lagi.

Turut diselitkan dalam kuliahnya pesanan supaya setiap daripada kita mencari jalan yang diredai Allah dan berusaha menghadapi kematian dalam bentuk syahid di jalan Allah.

Majlis tersebut juga diisi dengan ceramah oleh Pengarah Istitut Kajian Hadis, Universiti Islam Antarabangsa Selangor, (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah.

Beliau menekankan dua perkara iaitu al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup untuk kejayaan di dunia dan di akhirat.

Katanya, dengan mengamalkan al-Quran dan sunah Rasulullah, ia akan jadi pendinding. Daripada situ juga kita akan dapat mencari kebenaran dan bentuk-bentuk cara menghayati Islam.

Islam bukan hanya sekadar solat lima waktu, puasa dan cukup duit pergi haji. Itu bukanlah sebagai menjadi noktah sebagai kesempurnaan dalam Islam. Apabila kita mentelaah sejarah nabi, keagungan Islam dapat mengubah landskap dari jahiliah ke tamadun moden dan al-Quran sebagai pemangkin.

“Daripada penghayatan dan mengamalkannya kita akan dapat menyatukan masyarakat yang berpecah belah, tamadun sebuah negara yang komplek dapat dibawa kepada masyarakat yang lebih bertamadun,” kata Farid Ravi.

Umat Islam dinasihati menghayati isi kandungan al-Quran dengan tafsiran dan bukan hanya sekadar dibaca sahaja. Penghayatan ini juga membezakan soal halal dan haram, semangat jihad, utamakan perniagaan Islam dan untuk terus maju serta mengeluarkan produk-produk yang halal untuk umat Islam sejagat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments

Leave a Reply to aidi-safuan Cancel reply