Projek Masjidil Haram lancar

MAKKAH: Projek meluaskan halaman utara Masjidil Haram, iaitu satu daripada projek utama yang diperintahkan Raja Abdullah dilaporkan berjalan lancar.
Projek itu meliputi kawasan seluas 1.5 juta persegi sehingga ke jalan utara Masjidil Haram dan Jalan Jabal Kaaba di barat.

Ia adalah sebahagian projek meluaskan sehingga tiga juta persegi masjid berkenaan yang termasuk membina hotel baru, kediaman, kemudahan awam dan pusat komersial. Projek itu untuk menampung 250,00 jemaah lagi berbanding 400,000 ketika ini.

Projek Jabal Omar di barat Masjidil Haram adalah yang kedua terbesar di Makkah meliputi kawasan seluas 230,000 meter persegi.

Pelaksanaan projek Metro Makkah sepanjang 20 kilometer yang menghubungkan Masjidil Haram dengan Mina, Arafat dan Muzdalifah menjadi mercu tanda projek mega di Makkah. Pembinaan landasan kereta api yang menelan belanja SR6.65 bilion (RM5.48 bilion) mampu menampung 70,000 jemaah setiap jam ketika musim haji. Projek ini masih di peringkat akhir pembinaan.

Hanya enam tren dijangka beroperasi bagi musim haji tahun ini dan akan beroperasi sepenuhnya iaitu sebanyak 20 tren pada tahun hadapan. Setiap tren mempunyai 12 gerabak.

Projek Metro Makkah membabitkan pembinaan sembilan stesen di Arafat, Mina dan Muzdalifah dengan setiap stesen sepanjang 300 meter. Terdapat satu stesen dibina di Jambatan Jakarta di Mina tempat di mana ibadah melontar dilakukan. Jemaah boleh menaiki tren di tingkat empat jambatan itu. Pembinaan projek Metro Makkah mampu memperbaiki sistem pengangkutan bagi memudahkan jemaah ke lokasi utama rukun haji. – Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments

Leave a Reply