Kadar inflasi 3.5 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR 28 Mac – Kadar inflasi negara pada tahun ini diunjur berada pada sekitar 3.0 dan 3.5 peratus, dijangka melonjak lebih pantas pada separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi global.

AmResearch dalam nota penyelidikannya bagaimanapun meramalkan kenaikan itu tidak menyebabkan berlaku kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan pada Mei ini.

Menurutnya, kenaikan kadar faedah mungkin boleh dilakukan apabila peningkatan itu disebabkan oleh permintaan tetapi bukan apabila ia membabitkan kejutan bekalan untuk sementara waktu.

AmResearch menjangkakan kenaikan kadar faedah tidak akan berlaku dalam tempoh jangka pendek ini, sekurang-kurangnya sehingga September ini.

‘Kami percaya peningkatan kadar inflasi dalam tempoh 22 bulan tertinggi yang dicatatkan pada Februari lalu iaitu 2.9 peratus memeranjatkan BNM.

Peningkatan kadar inflasi ini akan menambah tekanan kepada pengurusan monetari ekonomi, khususnya ketika pulangan sebenar kadar faedah menjadi negatif buat kali pertama dalam tempoh 26 bulan.

”Tetapi kami percaya BNM tidak akan melakukan penyelarasan terhadap OPR,” menurutnya.

Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka kekal berada antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada pertengahan pertama 2011, sebelum meningkat kepada 6.0 peratus pada separuh kedua.

Tambah firma penyelidikan itu, kadar OPR yang ditetapkan 2.75 peratus adalah pada tahap akomodatif untuk menggalakkan pertumbuhan dan mengekang tekanan inflasi kepada ekonomi.

Mengulas mengenai kenaikan kadar inflasi, AmResearch berkata, peningkatan itu disebabkan oleh kenaikan harga makanan, pengangkutan dan indeks tenaga.

Tambahnya, meskipun kadar inflasi negara menunjukkan trend menaik, tetapi kenaikan harga di Malaysia masih kekal rendah berbanding negara-negara lain seperti Singapura, China dan India.

”Perbezaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kesan lebih kecil dalam lonjakan harga komoditi dan makanan dunia,” ujarnya.

Malah, AmResearch turut percaya kerajaan tidak akan meningkatkan harga minyak.

– Petikan dari Utusan Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

3 comments

Leave a Reply to suffer8zine Cancel reply