LOS ANGELES 1 April – Pemain golf penuh kontroversi, Tiger Woods ingin menjual kapal layarnya.
Akhbar New York Post melaporkan, Woods yang terpaksa memberikan bekas isterinya, Elin Nordegren AS$100 juta (RM310 juta) ekoran penceraian dan kehilangan penajaan berjumlah kira-kira AS$100 juta, berharap dapat menjual kapal mewah Privacy dengan harga AS$25 juta (RM77.5 juta).
Bagaimanapun, pakar mempercayai Woods masih bernasib baik jika kapal itu dijual pada AS$20 juta (RM62 juta) yang merupakan harga asal kapal tersebut ketika dibelinya pada 2004.
”Pasaran untuk kapal mewah telah menurun,” kata pembuat kapal layar North Palm Beach, John Staluppi.
Bank juga tidak berminat memberikan pinjaman pembelian dan keadaan ekonomi juga tidak membantu. Melainkan kapal itu dijual kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan kapal layar milik Woods, dia akan mendapat harga AS$20 juta itu.
Woods baru-baru ini membeli sebuah bot untuk aktiviti penyelaman, Solitude dengan harga AS$3.1 juta (RM9.61 juta). – Agensi