[INFO] Wasiat harta pusaka bukan waris tak lebih 1/3

Pentadbir dilantik kenal pasti aset, tentukan penerima berhak mengikut undang-undang

JIKA siri lalu membincangkan perkara berkaitan pentadbiran harta pusaka, akaun amanah dan wasiat, kali ini AmanahRaya menjelaskan secara ringkas mengenai pentadbiran harta pusaka supaya umum dapat mengingat kembali isu telah dibincangkan sebelum ini.

Harta pusaka ialah segala peninggalan si mati yang meliputi harta alih dan harta tak alih selepas ditolak hutang serta kewajipan yang perlu diberikan kepada pihak berhak menurut undang-undang. Harta alih adalah harta boleh dialih dari satu tempat ke satu tempat yang lain contohnya kereta dan wang tunai, manakala harta tak alih pula, harta i tidak boleh dialih atau kekal di tempatnya seperti rumah, tanah atau sawah bendang.

Menurut jumhur ulama, hak berkaitan harta pusaka terbahagi kepada 5 iaitu:

  • penyelenggaraan dan pengebumian jenazah;
  • pembayaran hutang si mati iaitu hutang dengan Allah dan hutang sesama manusia;
  • pelaksanaan wasiat;
  • tuntutan harta sepencarian; dan
  • pengagihan baki harta kepada waris berhak.
  • Selain itu, sebelum pembahagian harta pusaka dijalankan, jika ada tuntutan harta sepencarian, harta si mati tidak boleh dibahagikan sehingga keputusan mengenai tuntutan harta sepencarian diperoleh.

    Pentadbiran harta pusaka terbahagi kepada dua iaitu harta pusaka berwasiat dan harta pusaka tidak berwasiat.

    Bagi harta pusaka berwasiat, si mati ketika hidupnya telah menulis wasiat dan melantik pentadbir bagi harta pusakanya, mengenal pasti hartanya serta menentukan siapa menerima harta itu.

    Menurut Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih daripada 1/3 jumlah hartanya kepada bukan waris sama ada untuk amal jariah, anak angkat, cucu kematian bapa dan sebagainya.

    Manakala bagi pentadbiran harta pusaka tidak berwasiat pula, waris perlu melantik pentadbir harta pusaka. Jika waris melantik AmanahRaya sebagai pentadbir, sebagai pentadbir harta pusaka, AmanahRaya akan mewakili waris di mahkamah dan menguruskan harta pusaka bagi pihak waris.

    AmanahRaya juga akan meneliti senarai harta, liabiliti dan mengenal pasti penghutang dan pemiutang si mati, melunaskan segala hutang si mati kepada pihak berkaitan, mengeluarkan suratkuasa bagi Seksyen 17(1) dan 17(2).

    Pengagihan harta pusaka berdasarkan hukum faraid (bagi yang beragama Islam) atau Akta Pembahagian 1958 (bagi bukan Islam).

    Waris perlu membawa dokumen penting bagi membantu melaksanakan pentadbiran harta pusaka seperti sijil kematian, sijil faraid (bagi yang beragama islam), dokumen berkaitan harta dan hutang (contohnya buku simpanan bank, geran kereta, geran tanah dan lain-lain).

    Bagi pentadbiran harta pusaka orang Islam, sijil faraid akan memperuntukkan bahagian yang akan diterima waris dan pembahagian dibuat mengikut hukum faraid. Sijil faraid dikeluarkan Mahkamah Syariah adalah dokumen penting digunakan sebagai asas kepada pembahagian harta pusaka.

    Ada juga kes penolakan harta pusaka oleh waris berhak atas faktor tertentu. Selain isu penolakan, ada juga pembahagian mengikut pakatan atau persetujuan waris, tolak ansur yang mengikut konsep takharuj.

    Pembahagian mengikut pakatan ini boleh dilaksanakan jika semua waris berhak sudah bersepakat dan bersetuju untuk membuat pembahagian mengikut apa yang mereka fikirkan adil dan dapat melindungi hak setiap waris berhak.

    Oleh demikian, jika ahli waris membuat persetujuan dan mengemukakan Surat Persetujuan Penolakan atau Surat Pakatan Keluarga dalam pembahagian harta pusaka, pembahagian akan dibuat mengikut Surat Persetujuan atau Surat Pakatan berkenaan.

    Dalam hal pentadbiran harta pusaka bagi bukan Islam pula, jika si mati ada menulis wasiat, pembahagian pusaka dibuat mengikut wasiat. Tanpa dokumen wasiat, harta pusaka akan dibahagikan mengikut Akta Pembahagian 1958 atau Surat Persetujuan Penolakan atau Surat Pakatan Keluarga.

    AmanahRaya yang dilantik sebagai pentadbir bertanggungjawab untuk menyediakan penyata akaun harta pusaka bagi menyenaraikan aset dihasilkan, liabiliti yang dibayar berserta perincian nama waris, bahagian dan jumlah diterima.

    Selepas harta pusaka diagihkan kepada waris yang berhak, kes pusaka akan didaftarkan sebagai pusaka yang telah selesai dan ditutup. Bagi waris berumur 18 tahun dan ke bawah, orang kurang upaya dan cacat akal, bahagiannya akan dimasukkan ke akaun amanah di AmanahRaya dan boleh dituntut mengikut keperluan.

    Selepas berusia 18 tahun atau usia dipersetujui seperti dalam Suratikatan Amanah, baki wang yang ada dalam akaun amanah akan diserahkan kepadanya.

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu); dan di sisi Allah pahala yang besar.” (Surah At-Taghabun, ayat 15)

    Daripada Abi Bazrah al-Aslami, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan melangkah kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga ditanyakan mengenai umurnya pada apa ia habiskan, mengenai ilmunya pada apa ia lakukan, mengenai hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan dan mengenai tubuhnya pada apa ia dihabiskan.”

    – di petik dari Berita Harian

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Leave a Reply