[INFO] Pembedahan Sesarean

ceaser

KELAHIRAN SESAREAN

Kelahiran secara pembedahan sesarean dilakukan apabila anak sukar dilahirkan melalui cara biasa. Tatacara ini memang telah lama diamalkan oleh pakar perbidanan. Di Malaysia selaras dengan permodenan amalan perubatan dan kemudahan perubatan moden seperti hospital, bilik bedah, alat-alat pembedahan, kemudahan tranfusi darah, doktor pakar bedah dan doktor pakar bius, semakin banyak pembedahan sesarean dilakukan.

Walaupun demikian, kadar kelahiran secara pembedahan ini masih rendah di negara kita berbanding dengan negara yang maju. Di hospital bersalin di Malaysia misalnya pembedahan sesarean hanya dilakukan antara lima hingga sepuluh peratus kelahiran sahaja, sedangkan di sesetengah hospital bersalin di Barat, kadar pembedahan sesarean mungkin dalam lingkungan 15 hingga 20 peratus daripada semua kelahiran.

Ini tidaklah pula bermakna pakar perbidanan hanya membedah dengan sewenang-wenangnya sahaja. Tujuan utama pembedahan itu ialah untuk menyelamatkan bayi dan juga ibu.

Pembedahan sesarean boleh dilakukan secara cemas (emergency) atau secara pilihan (elective surgery). Kebanyakan pembedahan sesarean di Malaysia dilakukan secara cemas iaitu dilakukan pada pesakit yang mengalami masalah ketika mengandung dan ketika melahirkan anak.

Pembedahan secara pilihan masih lagi kecil. Ini mungkin ada kaitan dengan sikap konservatif sesetengah doktor pakar perbidanan serta masyarakat kita yang masih takut dan tidak punya keyakinan yang begitu kuat terhadap amalan perbidanan moden. Ini nyata sekali apabila satu kajian dibuat mengenai tempat kelahiran khususnya dikalangan orang Melayu. Mengikut kajian itu yang dilakukan pada tahun 1984, ternyata sekali lebih kurang 60 peratus kelahiran bayi Melayu masih dilakukan di rumah.

Setiap wanita yang sedang hamil atau sedang melahirkan anak, mempunyai risiko melahirkannya secara pembedahan. Kemungkinan ini adalah kecil kerana sebahagian besar kelahiran berlaku secara normal. Wanita yang hamil sulung atau melahirkan anak melebihi lima kali, wanita yang hamil ketika umurnya melebihi 35 tahun, mempunyai kemungkinan yang lebih untuk melahirkan anak secara sesarean.

Dalam beberapa keadaan doktor tidak mempunyai jalan lain untuk melahirkan bayi melainkan melalui pembedahan. Antara sebabnya ialah:

  • Biasanya, wanita yang rendah kerap mengalami masalah ini. Begitu juga dengan wanita yang pernah mengalami masalah patah tulang rongga punggung (fractured pelvis), pernah mengalami penyakit yang melibatkan tulang punggung seperti penyakit kurang vitamin (rickets), ataupun keadaan punggung dan tulang belakangnya tidak normal. Wanita golongan ini berkemungkinan saluran rongga punggungnya sempit dan tidak boleh memuatkan kepala janin. Ada juga saiz rongga punggung tidak begitu sempit, tetapi janin pula terlalu besar mungkin melebihi 10 paun. Keadaan ini menyebabkan kepala janin susah keluar melalui rongga punggung.
  • Doktor juga tidak ada pilihan lain dalam kes uri terletak di hadapan janin (placenta previa). Biasanya pesakit seperti ini mengalami tumpah darah yang banyak di peringkat akhir kehamilan dan tumpah darah ini boleh mengancam nyawa ibu dan bayinya. Ia mungkin berlaku pada bulan ketujuh atau kelapan ataupun sejurus sebelum sakit bersalin bermula. Jika pendarahan berlaku dengan banyak, pembedahan secara cemas dilakukan. Pada kebiasaannya, tumpah darah akan reda dan doktor tidak perlu melakukan pembedahan secara cemas. Ibu hanya perlu diawasi di hospital sekurang-kurangnya satu atau dua minggu sebelum dijangkakan ibu melahirkan anak. Jika berlaku pendarahan yang banyak sebelum tarikh kelahiran, pembedahan boleh dilakukan bila-bila masa sahaja.
  •  Terdapat beberapa kemalangan yang mencemaskan seperti tangan bayi terkeluar sebelum kepalanya, ataupun tali pusat terkeluar dahulu sebelum kepala bayi. Ini boleh berlaku ketika wanita itu sedang sakit. Keadaan begini biasanya dikaitkan dengan kedudukan janin yang luar biasa atau songsang dan ibu tidak dapat perhatian dan rawatan yang sewajarnya sehingga pesakit mula mengalami sakit bersalin di rumah. Dalam keadaan tersebut jika terbukti janin masih hidup dalam rahim, pembedahan secara cemas perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya. Jika janin telah meninggal, kelahiran secara biasa boleh dilakukan. Dalam kes janin melintang dan tangan terkeluar dahulu, tidak ada pilihan lain, ibu terpaksa dibedah.
  •  Satu lagi keadaan ini, bayi dalam rahim mengalami kesesakan nafas dan denyutan jantungnya menjadi lemah. Bayi ini diancam maut bila-bila masa sahaja. Keadaan cemas ini berlaku akibat beberapa faktor. Wanita yang sakit bersalin berpanjangan; dia telah sakit di rumah berjam-jam lamanya atau sampai satu atau dua hari tanpa mendapat perhatian yang wajar; wanita yang menghidap penyakit darah tinggi, sawan beranak atau tumpah darah ketika sakit bersalin. Dalam hal demikian, tidak ada pilihan lain melainkan doktor perlu menyelamatkan bayi dengan melahirkan secara pembedahan.

Di samping faktor yang dinyatakan tadi, ada juga pembedahan yang dilakukan kerana sebab-sebab yang relatif sahaja. Faktor yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

  • Wanita yang mengalami masalah pertumbuhan janin perlu melahirkan anaknya secara pembedahan. Janin yang terlalu kecil dan tidak tumbuh dengan sewajarnya, jika dia dibenarkan lahir secara normal kemungkinan besar akan mengalami kesesakan nafas ketika lahir atau mati sebelum lahir. Gangguan pertumbuhan janin yang mungkin disebabkan oleh faktor seperti penyakit darah tinggi boleh menjadi runcing apabila kandungan meningkat usianya ke peringkat tujuh hingga lapan bulan. Kelahiran secara pembedahan kadangkala perlu dilakukan sebelum tarikh dia dijangka lahir untuk mengatasi kemungkinan janin itu mati dalam rahim.
  •  Wanita yang pernah mengalami masalah keguguran, tidak pernah melahirkan anak yang hidup seperti berulang-ulang kali gugur atau dia sering melahirkan anak yang mati dalam rahim, juga perlu menjalani pembedahan. Jika kehamilannya berjaya mencapai ke peringkat cukup bulan, ada kalangan doktor yang lebih suka melahirkan anak ini secara pembedahan. Dengan ini, risiko kematian bayi atau tercedera jika dibenarkan lahir secara biasa dapat dikurangkan.
  •  Wanita yang mengalami masalah kemandulan bertahun-tahun lamanya dan apabila berjaya buat pertama kali hamil setelah menjalani rawatan kemandulan, maka kehamilan itu dianggap sangat bernilai. Dalam  keadaan begini doktor seringkali menasihatkan wanita ini berslain dengan cara dibedah. Lagipun, ibu ini sudah tentulah telah lanjut umurnya ketika dia berjaya hamil. Usia yang lanjut ini boleh meningkatkan lagi risiko kelahiran, khususnya kelahiran pertama. Dengan itu pembedahan sesarean secara pilihan mungkin memberi manfaat kepadanya.
  • Bayi songsang (breech), terutamanya jika kehamilan ini sulung dan difikirkan lebih besar daripada saiz biasa, dalam keadaan begini doktor lebih gemar memilih pembedahan sesarean kerana jika dibenarkan melahirkan secara songsang (punggung dahulu) risiko baginya adalah jauh lebih tinggi.
  • Bayi yang besar daripada saiz biasa, lazimnya ini berlaku di kalangan ibu yang menghidap penyakit kencing manis ketika hamil. Saiz bayi yang melebihi lapan paun mungkin menimbulkan masalah ketika bersalin. Jika terdapat faktor lain sperti penyakit darah tinggi, keguguran, atau bayi mati dalam rahim (stillbirth) sebelum ini, adalah lebih baik kelahiran kali ini dilakukan melalui pembedahan.

Di samping faktor di atas ada beberapa faktor lain yan menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. Telah dinyatakan, sesetengah sebabnya adalah relatif. Faktor ini kadang-kadang menimbulkan kontroversi, bukan sahaja di kalangan doktor-doktor yang membuat keputusan, malahan di kalangan pesakit sendiri. Sesuatu keputusan yang diambil oleh doktor adalah bersesuaian dengan keadaan di masa itu untuk menyelamatkan nyawa bayi dan ibu. Pihak lain seperti saudara-mara pesakit atau doktor lain memanglah mudah mempertikaikan keputusan doktor untuk melakukan pembedahan, tetapi doktor yang merawat wanita dalam keadaan cemas itu mengetahui apa yang dilakukannya. Beliaulah orang yang paling wajar sekali untuk membuat keputusan.

Pembedahan sesarean yang dilakukan pada masa ini boleh dianggap selamat. Dengan kemudahan peralatan dan para pakar serta kakitangan terlatih, pembedahan ini  mudah dilakukan. Kemalangan atau kecelakaan jarang berlaku ketika pembedahan. Walaupun demikian, beberapa masalah mungkin timbul, sama ada ini berpunca dari kecuaian kakitangan atau dari pihak pesakit sendiri. Satu masalah yang masih berlaku ialah pendarahan ketika dan selepas pembedahan. Ini boleh berpunca daripada darah, masalah ini dapat diatasi dengan mudah.

Masalah kedua ialah jangkitan kuman pada luka pembedahan. Ini juga mudah diatasi kerana sekarang terdapat banyak ubat antibiotik yang boleh melawan kuman. Jangkitan kuman ini sering dikaitkan dengan takungan darah pada luka yang tidak dapat dikawal darah yang keluar setelah luka itu dijahit. Masalah ini juga boleh diatasi dengan mengeluarkan takungan darah dan nanah dan tempat luka dibersih (dressing) setiap hari. Ubat-ubat antibiotik juga diberi untuk  melawan kuman.

Satu masalah yang masih berlaku dan boleh mengancam nyawa wanita ialah kerosakan paru-paru. Ini biasanya disebabkan oleh kandungan cecair dari perut yang mengandungi asid melimpah masuk ke dalam paru-paru (mendelson?s syndrome). Dalam hal ini saya ingin menegaskan kepada semua wanita jangan makan ketika sedang sakit bersalin. Jika perlu minumlah air kosong sahaja kerana jika terpaksa dilakukan pembedahan secara cemas dan perut berisi makanan dan minuman, ada kemungkinan kandungan perut ini akan melimpah masuk ke dalam paru-paru. Ini boleh membahayakan nyawa ibu.

Proses pemulihan dari pembedahan adalah sama seperti pembedahan lain. Biasanya wanita berkenaan perlu menjauhi makanan pada hari pertama dan kedua dan segala makanan dan cecair diberikan secara drip. Makanan melalui mulut diberi secara berperingkat-peringkat.

Jika ada tanda-tanda ususnya bergerak, untuk permulaan, air bolehlah diberikan. Kalau tidak ada kesulitan atau kerumitan dalam minggu pertama, insya-Allah jahitan akan dikeluarkan pada hari ketujuh. Ada sesetengah pesakit yang balik ke rumah sebelum jahitan dibuka dan mereka datang lalgi ke hospital atau ke klinik yang terdekat untuk mengeluarkan jahitan pada hari ketujuh. Amalan begini tidak diamalkan oleh hospital kerajaan. Pesakit hanya disuruh pulang setelah ditentukan jahitannya tidak mengalami kesulitan. Setelah jahitan itu dibuka dan tidak ada tanda-tanda ia dijangkiti kuman, barulah ibu itu dibenarkan pulang.

Apabila pembedahan sesarean dilakukan, ini tidak bermakna ibu tidak boleh menyusui anaknya. Penyusuan badan adalah digalakkan. Beberapa hari selepas pembedahan, susunya belum keluar, tetapi bayi itu boleh digalakkan menghisap putingnya untuk menggalakkan pengeluaran air susu. Pada hari kedua atau ketiga ibu mulai cergas dan bertenaga. Pada ketika itu dia boleh mula menyusukan anaknya. Penyusuan bayi dengan susu sendiri boleh mempercepatkan proses pemulihan pembedahan.

Penting bagi wanita yang telah menjalani pembedahan berbincang dengan doktornya untuk mengetahui mengapa pembedahan tersebut dilakukan, apakah prospek kelahiran di masa akan datang sama ada dia memerlukan ulangan pembedahan ataupun dia boleh melahirkan anak secara biasa. Jika wanita itu hamil lagi, mungkin doktor lain yang merawatnya ataupun wanita itu telah berpindah ke tempat lain. Jika tidak ada butir-butir mengenai dirinya, maka sukarlah bagi doktor yang merawatnya itu membuat keputusan sama ada akan melakukan pembedahan atau tidak.

Pesakit juga perlu mendapat nasihat doktor bagaimana menjarakkan kehamilan dan waktu yang sewajar baginya untuk hamil lagi. Biasanya waktu yang sesuai menjarakkan kehamilan yang akan datang ialah dalam lingkungan dua tahun. Beberapa cara untuk mencegah kehamilan boleh digunakan dan wanita ini perlu mendapat nasihat doktor di klinik perancang keluarga yang terdekat.

Perlu ditegaskan tidak ada pantang larang makanan setelah wanita itu dikeluarkan dari hospital. Malah dia digalakkan makan bahan makanan yang kaya dengan kandungan protein seperti daging ayam, sayur-sayuran atau buah-buahan. Luka pembedahan biasanya akan pulih dalam masa dua minggu. Cantumannya menjadi teguh dan kuat selepas sebulan. Pada akhir pantang iaitu 42 hari, ia menjadi pulih seperti biasa. Tidak perlullah dipanjangkan lagi waktu  pantang.

Cara kelahiran yang berikutnya bergantung kepada punca pembedahan yang pertama dilakukan. Jika pembedahan itu oleh sebab kesempitan rongga punggung, maka setiap kelahiran terpaksalah dilakukan secara pembedahan. Dalam hal ini, ramai wanita yang bertanya, berapa had bilangan pembedahan yang boleh dilakukan? Walaupun kebanyakan pakar perbidanan sekarang ini menasihatkan tiga kali, sebenarnya tidak ada had bilangan yang mutlak. Pada pendapat doktor dan juga masyarakat umum, tiga orang anak sudah mencukupi. Oleh itu pembedahan yang tiga kali itu dirasakan sudah mencukupi. Jika pembedahan perlu diulang melebihi tiga kali, mungkin ini akan membebankan pesakit di segi fizikal dan mentalnya. Lagipun pembedahan yang diulang pada parut yang sama menjadikan pembedahan lebih rumit lagi. Kemungkinan doktor menemui kesulitan dalam proses pembedahan jika ia terlalu banyak kali diulang.

Seringkali doktor akan mencadangkan supaya wanita yang telah tiga kali dibedah perlu diikat saluran peranakannya pada pembedahan yang ketiga. Ini tidak diwajibkan tetapi jika pasangan suami isteri itu bersetuju setelah berbincang dengan doktor yang merawatnya, maka lebih baiklah perkara ini dilakukan. Walaupun begitu, jika terdapat kesangsian khususnya daripada wanita yang masih muda iaitu kurang daripada 30 tahun, saya nasihatkan pemandulan secara ikat saluran peranakan ini ditangguhkan. Ini boleh dilakukan kemudian setelah ketiga-tiga anak itu besar dan hidup tanpa sebarang kecelakaan atau kecacatan.

Dalam hal ini doktor telah menemui beberapa kes pemandulan yang terpaksa dibuka semula saluran peranakan yang diikat itu. Ini berlaku kerana wanita tersebut berkahwin lain setelah bercerai dengan suaminya. Ada kalanya suami baru itu orang bujang yang tidak pernah mempunyai anak. Dalam keadaan begini suami baru itu mendesak untuk mendapatkan anak. Ini akan menyulitkan keadaan jika saluran peranakan itu telah diikat. Jika hendak dibuka ikatan, satu lagi pembedahan perlu dilakukan dan tidak semestinya hasil pembukaan ikatan ini akan memberi kehamilan seratus peratus. Peluang bagi menjayakan kehamilan selepas pembedahan ini mungkin dalam lingkungan 50 hingg 60 peratus sahaja. Pembedahan untuk memulihkan ikatan saluran peranakan ini adalah satu pembedahan yang besar samalah seperti pembedahan sesarean untuk mengeluarkan anak.

Bagi wanita yang dibedah buat pertama kalinya oleh sebab-sebab yang relatif, dalam kelahiran yang kedua dia tidak semestinya dibedah lagi. Dia akan digalak menjalani percubaan untuk melahirkan secara biasa (trial of labour) jika tidak ada gejala yang mungkin menyekat kelahiran. Ini dilakukan setelah dikaji dan diperiksa dengan teliti termasuklah pemeriksaan X-ray rongga punggung. Dalam kelahiran percubaan ini, wanita tersebut akan disediakan seperti dia akan menempuh satu lagi pembedahan. Ini bermakna persiapan seperti bekalaan darah, pengawasan oleh kakitangan akan dilakukan dengan rapi dan jika timbul kerumitan pembedahan akan terus dilakukan.

Nota kaki : Harap2 ada yang paham kenapa pemebdahan itu dilakukan atas beberapa faktor kan. hehehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

6 comments

  1. makdara TERdiva says:

    pjg lebar info sumi..tp baguslah..tau jugak kenapa dan sebab apa sesuatu pembedahan dilakukan semasa bersalin..
    ai takde pengalaman sbb sume anak bersalin normal..alhamdulilah

  2. azi says:

    hmm..info berguna..last year oct baru bersalin anak sulung..kene bedah..songsang…anak sulung baru masuk 6bln..tak sempat nk amik perancang dh lekat sorang lagi..hmm..rezeki dr allah..doc pun gelak je..n kami teruskan…sekarang sy dh 24minggu..harap smua berjalan lancar..amin

Leave a Reply to Sumijelly Cancel reply