Pelancaran Karnival Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014)

LRT percuma sempena kempen Karnival TMM2014

PUTRAJAYA 16 Jan. – Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) percuma ke stesen Bukit Jalil akan disediakan dari pukul 6 petang hingga tengah malam pada 19 Januari ini bagi memudahkan orang ramai menghadiri pelancaran Karnival Promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM2014).

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, pelancaran karnival tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 8 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Selain mengumumkan prestasi kemasukan pelancong untuk 2012, Perdana Menteri juga dijadual melancarkan lagu tema Tahun Melawat Malaysia 2014 yang dinyanyikan oleh Ella,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Karnival selama tiga hari itu akan bermula pukul 4.30 petang hingga lewat malam pada 18 Januari dan dari pukul 10 pagi hingga lewat malam pada 19 dan 20 Januari.

Antara acara menarik yang dijalankan sepanjang karnival itu adalah bazar buah-buahan, pameran tanglung, pameran seni kontemporari, pameran motosikal dan basikal serta persembahan artis dan gendang pelbagai kaum.

Pengunjung boleh mendaftar melalui Facebook Cuti-Cuti 1Malaysia atau di tapak karnival untuk menyertai aktiviti cabutan bertuah yang menawarkan 2,000 hadiah menarik termasuk motosikal, basikal dan pakej pelancongan.

Pengunjung bertuah juga berpeluang menaiki kereta Ferrari serta menghadiri makan tengah hari dengan pereka kasut terkenal, Datuk Dr. Jimmy Choo.

Mengulas lanjut, Yen Yen berkata, Tahun Melawat Malaysia 2014 menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 28 juta pelancong melalui kempen tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Pelancongan akan menumpukan kepada pasaran sedia ada seperti Asia Barat, China dan India selain beberapa pasaran baharu seperti di Rusia, Kazakhstan, Brazil serta pantai barat Amerika Syarikat.

“Kita mahu lebih ramai pelancong Amerika Syarikat datang ke Malaysia melalui Honolulu, Hawaii kerana pelancong dari situ boleh melancong ke Sabah atau Semenanjung dengan transit di Manila, Filipina,” katanya.

——————————-

Jom meriahkan acara ini…….. meh la pergi.. sebab saya pun kene pergi……muahahahaha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply